5 Busana Perkahwinan Pelbagai Warna Daripada Pereka Tempatan

Pasaran fesyen pengantin kini semakin rancak dengan adanya rekaan-rekaan terbaru daripada pereka fesyen tanah air. Lebih menarik apabila orang- orang seni yang berbakat dalam pembuatan pakaian pengantin ini mula menghasilkan busana perkahwinan dengan warna-warna yang memberi mood romantis pada pengantin.

Pemilihan rona seperti biru cair, kelabu ataupun warna pastel bukan sahaja memberikan aura segar bahkan ianya bagaikan mempunyai cerita cintanya tersendiri yang ingin dikongsikan bersama pengunjung yang hadir.

Sebernarnya lebih ramai lagi anak watan khususnya pereka fesyen mempertaruhkan persalinan perkahwinan selain warna putih atau krim cair namun busana lima pereka fesyen ini menarik perhatian Jelita.

Datuk Bernard Chandran

Siapa tidak kenal dengan pereka fesyen kelas A ini. Setiap persembahan fesyen yang dianjurkan olehnya tidak pernah mengecewakan. Dia sentiasa tampil dengan idea di luar jangkaan dan unik. Hasil kerjannya juga cukup sempurna!

Mimpi Kita

Label yang dipelopori dua usahawan wanita ini antara pereka fesyen yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pembikinan busana pengantin. Sering menggunakan palet lembut yang juga gaya signaturnya, Mimpi Kita sekali lagi mengangkat fabrik songket warna kelabu dengan potongan moden untuk pengantin alaf baru.

Wajie Ibrahim

Meskpun masih baru dalam bidang fesyen, Wajie Ibrahim tampil berani menggunakan jemeki floral terkini dan fabrik berlisu untuk si pengantin. Idea segarnya ini cukup memikat hati penonton yang hadir.

Qudyn

Penggunaan sulam bunga timbul dengan warna bertentangan seperti ini sudah tentu menaikkan seri gaya pengantin. Qudyn juga antara pereka fesyen yang tidak takut mencuba sesuatu yang baru demi memenuhi tuntutan fesyen perkahwinan masa kini.

Ezuwan Ismail

Tampil manis bagaikan puteri kayangan dengan palet biru lemah yang dipertaruhkan oleh Ezuwan Ismail. Untuk bakal pengantin yang kurang menggemari warna terang, gaya ini boleh menyerlahkan eksklusiviti sesebuah persalinan.