8 Cara Mudah Pikat Hati Mentua Sebelum Hari Bahagia

Pasangan yang mengambil keputusan untuk berkahwin dan mendirikan rumah tangga harus tahu bahawa mereka sebenarnya bukan sahaja berkahwin dengan pasangannya tetapi juga berkahwin dengan seluruh keluarga dan sanak saudara pasangan masing-masing. Oleh itu, ia amat penting jika anda mencari keserasian dan berusaha untuk menambat hati mentua anda supaya hubungan kekeluargaan yang terbina tetap utuh.

Cari Masa Untuk Pulang Ke Kampung

Pulang ke kampung halaman tidak hanya wajib ketika perayaan bahkan ia boleh dilakukan pada hari biasa. Carilah masa terluang untuk pulang ke kampung halaman setelah berkahwin. Tidak perlu kerap tetapi cukuplah sekurang-kurangnya sebulan sekali. Jikalau anda dan suami sudah mempunyai anak, mereka tentu rindu dengan cucu mereka. Beritahu mereka terlebih dahulu jika anda merancang untuk pulang ke kampung. Buat perancangan awal agar anda dapat menyediakan sesuatu yang disukainya.


 

Penampilan Yang Elok

Penampilan diri haruslah dijaga tidak kira sebelum mahupun selepas berkahwin. Jagalah penampilan kerana ia melambangkan diri dan sikap anda. Bagi lelaki, jangan sesekali memakai baju-T yang memiliki imej yang tidak sesuai dan bagi perempuan pula, jikalau tidak tahu nak pakai baju apa, baju kurung adalah antara pilihan yang tebaik untuk tampil kelihatan sopan.
 

Cari Topik Perbualan

Pastikan anda sudah menghafal semua perkara yang berkaitan dengan bakal mentua anda. Cuba selidik tentang  mereka melalui pasangan anda (anak mereka). Ketahui tentang hobinya, makanan kegemarannya, personalitinya dan sedikit sebanyak tentang latar belakang dirinya. Jangan malu untuk berbual dengan mereka. Cuba cari topik perbualan berdasarkan maklumat yang diperolehi tentang mereka.

Rajin Menolong

Tiada mentua yang akan membenci menantu yang ringan tulang. Sikap ringan tulang inilah yang sering dicari oleh mentua terutama sekali pada menantu perempuan. Tidak perlu malu untuk mengaku yang anda tidak pandai memasak, tetapi buktikan kesungguhan anda untuk membantunya setiap masa.Rajinkan diri untuk memicit dan mengurut mereka tatkala mereka sedang sakit.
 

Elak Bergaduh Di Depan Mentua

Jika anda dan pasangan anda mempunyai masalah rumah tangga, janganlah anda tunjukkan di depan mentua anda. Jikalau anda bergaduh dengan pasangan anda di depan mereka, ini akan memberikan gambaran sebenar tentang sikap anda terhadap anak mereka. Sebaliknya, cuba meminta nasihat daripada mentua anda untuk menambat hati pasangan anda. Pastinya mereka akan suka bercerita tentang anak mereka.
 

Jaga Tutur Kata Dengan Mentua

Pertuturan bersama mentua haruslah dijaga. Berhati-hatilah ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka dan elakkan dari menyinggung perasaan keluarga mentua anda. Pastikan anda mengawal diri anda dari segi batas perlakuan dan percakapan.
 

Jangan Berkira Dengan Mentu

Setelah berkahwin, mentua juga adalah sebahagian daripada hidup anda. Jadi, anggaplah mereka seperti sebahagian daripada darah daging anda sendiri supaya hubungan anda dan mertua akan bertambah mesra. Layanilah mereka sebagaimana anda melayani ibu bapa anda sendiri.
 

Doa Supaya Lembutkan Hati Mentua

Selain daripada cara di atas, anda juga harus sentiasa berdoa jika anda menghadapi kesukaran untuk memenangi hati mentua anda. Ini antara doa yang boleh anda amalkan.