Hidupkan Aura Mengilau di Hari Persandingan

Majlis perkahwinan memerlukan anda menghabiskan duit yang banyak untuk memastikan segalanya teratur dalam perancangan. Paling penting anda selaku pengantin menjadi orang terpenting untuk tampil cantik. Bayangkan setiap langkah anda menjadi perhatian ditambah lagi pancaran terus lampu tepat mengenai anda dan pasangan. Jadi, amat mustahak untuk anda memastikan busana yang disarung menaikkan seri penampilan.

Untuk anda yang meminati busana atau item fesyen yang berkilau, tidak salah rasanya meletakkan elemen tersebut untuk hari persandingan anda. Jelita sediakan beberapa busana dan aksesori berkonsepkan kilauan yang boleh membuatkan anda rambang mata!

Jelita senaraikan beberapa cara alami yang anda boleh lakukan di rumah dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi yang terdapat di dapur anda sahaja untuk merawat wajah dan menaikkan seri.

Dress Bermanik

Tidak semestinya anda perlu menghabiskan wang yang banyak untuk buat baju anda berkilat. Jika anda mempunyai bajet besar boleh guna batuan Swarovski. Namun bagi yang kurang berkemampuan, gantikan batuan tersebut dengan manik dan labuci. Sudah tentu ia juga tampak gah. Tipnya, elakkan membuat potongan yang terlalu dramatik pada dress yang sarat dengan labuci kerana elemen manik tersebut sebenarnya sudah cukup kuat untuk digayakan.

Kasut dengan batuan kristal

Bukan baju anda sahaja yang dilihat, setiap langkah anda juga turut diperhatikan. Kasut jenis stileto antara kasut yang popular digunakan. Melihat kepada bentuknya ia mencerminkan aura feminin yang menggoda. Ditambah lagi dengan batuan kristal di hadapannya.

Perhiasan

Cincin antara item terpenting buat si pengantin. Ia item simbolik buat kedua-dua merpati sejoli. Jadi tidak hairanlah ramai yang memilih untuk mendapatkan cincin berkilau sebegini. Jangan takut, ia tidak semestinya mahal. Pelbagai variasi harga dijual mengikut bajet anda.

Selain cincin, subang juga memainkan peranan untuk beri seri pada si pengantin. Helahnya, sekiranya potongan gaun anda berbentuk off shoulder, guna anting-anting yang lebih besar. Jika gaun anda mempunyai elemen yang sarat pada bahagian leher, pakai subang yang lebih kecil. Ini penting agar anda tida nampak keterlaluan pada keseluruhan gaya.