Kesilapan Solekan Pada Hari Perkahwinan

Pada hari perkahwinanlah, wajah anda akan dirakam dengan indah tanpa henti. Pastinya anda tidak mahu merosakkan potret perkahwinan anda dengan solekan yang ‘tidak kena’ itu. Berikut ialah beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh Ratu Sehari tanpa disedarinya.

Mencuba Sesuatu Yang Baru

Bereksperimen dengan teknik solekan baru bukanlah idea yang baik ketika hari perkahwinan anda. Anda sepatutnya memilih tona yang sesuai dengan kulit dan tidak bermain dengan rona yang jarang anda gayakan. Amat penting untuk wajah anda kelihatan ‘selesa’ dan kelihatan mesra dengan tona kulit.

Terperangkap Dengan Trend Solekan Terkini

Tidak semua trend solekan yang diperkenalkan sesuai dengan tona kulit dan bentuk wajah anda. Seperti, teknik contouring yang begitu popular kebelakangan ini. Tambahan pula, tidak semua jurusolek mampu untuk mengaplikasikannya dengan betul pada wajah. Jika anda tidak pernah mencuba teknik ini, disarankan untuk tidak melakukannya pada hari bahagia anda.

Tidak Melakukan Solekan Percubaan

Sebelum menjelangnya hari bahagia anda, disarankan untuk mencuba terlebih dahulu solekan yang anda inginkan pada hari perkahwinan nanti. Bincang dengan jurusolek apakah rona dan teknik solekan yang sesuai dengan anda. Dan jika anda tidak pernah mencuba sesuatu rona yang baru, mungkin jurusolek anda masih punyai masa untuk lebih bersedia dan praktis.

Aplikasi Pemerah Pipi Yang Salah

Betul, aplikasi pemerah pipi boleh menaikkan seri wajah. Namun, harus berhati-hati agar penggunaannya tepat. Aplikasi pemerah pipi yang salah boleh buatkan wajah kelihatan seperti clown. Teknik yang tepat, layangkan dengan manja pada garisan tulang pipi untuk lebih menonjol.

Solekan Mata Yang Terlalu Dramatik

Elakkan rona-rona yang terang dan terlalu gelap. Ini akan buatkan mata anda kelihatan seperti lebam dan wajah tampak lebih tua. Sebaiknya, gunakan rona-rona pastel dan tanah yang lembut agar memberikan biasan manis pada riasan wajah.

Mengabaikan Solekan Kening

Berikan perhatian pada alis mata agar ia melengkapkan keseluruhan riasan wajah. Solekan pada kening akan buatkan wajah tampak lebih kemas dan teratur. Jika anda tidak mahu mencukurnya, minta jurusolek anda kemaskan kening anda dengan menggunakan teknik yang betul.